بسم الله الرحمن الرحيم
Kadang-kala kemajuan dunia masa kini,kita tidak sedar betapa banyaknya pemikiran Barat telah pun meracuni generasi umat Islam kini.
Perang yang dilancarkan mereka begitu halus hinggakan hari demi hari,sedikit demi sedikit perubahan merubah dunia Islam masa kini mengikut acuan mereka.
Antara yang berjaya diketengahkan oleh mereka – “Sekularisme”
Insya-Allah,saya taipkan kembali perkongsian kertas kerja oleh al-fadhil ustaz Basir ketika mengikuti KUNTUM II 2010.
Mungkin agak panjang dan berbentuk ilmiah namun saya harapkan masih ada titik pencerahan kepada pembaca sekalian terhadap sekularisme.
Moga bermanfaat ~
SEKULARISME
DEFINISI
“al-Ilmaaniyyah”(b.arab) adalah terjemahan yang SALAH kepada perkataan “secularism” ataupun “secularit”(B.Inggeris).
(*Maaf sebab tidak dapat taipkan dalam perkataan Arab)
Ini adalah kerana “secularism”tidak ada kaitan dengan perkataan “al-’ilm” yang padanya disandarkan perkataan”al-ilmaaniyah” kerana perkataan “al-‘ilm” di dalam bahasa Inggerisnya adalah “science”.
Ianya diterjemahkan sedemikian adalah semata-mata untuk mengaburi mata manusia seolah-olah gerakan sekularism berasaskan method ilmu.
Terjemahan yang betul bagi perkataan “secularism” adalah "al-ladiniyyah" atau "ad-dunyawiyyah" 1
Secularism ataupun secularity adalah sinonom kepada perkataan unreligious iaitu tidak beragama (la-diinii).Ia merupakan satu gerakan unutk menjauhkan fahaman agama dari manusia dan pada akhirnya untuk menghancurkan agama tersebut samada Islam atau Masihi(Kristian)2
Disebutkan dalam kamus Webster tentang secularism :
“a view of life or any particular matter based on the premise that religion and religious considevation should be ignored or purposely excluded –a policy of strict in government—specify,a system of social ethics based upon a docerine that ethical and conduct should be determined exclusively with reference to the presence life and social well being without any reference to the religion”3
Sekularisme ialah ideologi bahawa urusan keduniaan seperti politik,pentadbiran dan undang-undang harus dipisahkan dari urusan keagamaan.
Istilah “sekularisme” mula digunakan di United Kingdom oleh seorang penulis bernama George Holyoake pada tahun 1846.
Walaupun ia adalah satu istilah yang baru,idea berkenaan seperti kebebasan berfikir sudah wujud sekian lama dalam sejarah manusia
Holyoake mencipta istilah “sekularisme” untuk menerangkan pandangannya yang menggalakkan satu aturan sosial yang terpisah dari agama tetapi dia tidaksecara aktif mengkritik agama.
Holyoake berhujah bahawa :
“sekularisme bukan menyanggah Kristian tetapi tidak bergantung kepada agama itu..Ia juga tidak mempersoalkan ajaran Kristian..Sekularisme tidak mengatakan tidak terdapat kebenaran atau panduan tetapi ia kebenaran dan panduan juga didapati melalui sekularisme yang wujud secara bebas..Pengetahuan mengenai sekular dimanifestasi dalam pengetahuan tentang kehidupan yang bersangkut paut dengan apa yang dilakukan semasa hidup,kebajikan dalam kehidupan dan berkebolehan untuk diuji oleh pengalaman hidup”4
Secara kesimpulannya sekularisme adalah gerakan sosial yang diasaskan untuk menjauhkan & menghapuskan agama dari kehidupan manusia,samada individu atau awam yang menuju kepada mementingkan kehidupan dunia tanpa akhirat 5
Perlu diketahui dengan jelas bahawa agenda memisahkan diantara agama dan kehidupan dunia,spiritual dan material adlah pemisahan yang diadakan di dalam agama Kristian,tidak di dalam agama Islam kerana Islam tidak memisahkan diantara agama dan kehidupan dunia.
NEGARA DAN SEKULARISME
Dalam istilah politik,sekularisme merupakan pergerakan ke arah pemisahan antara agama dan kerajaan.
Ia boleh dirujuk sebagai mengurangkan hubungan di antara kerajaan dan agama rasmi serta menggatikan undang-undang berdasarkan kitab suci (seperti undang-undang syariah dan Taurat) dengan undang-undang sivil dan menghapuskan diskriminasi berasaskan agama.
Ia juga dikatakan sebagai demokrasi dalam melindungi hak-hak golongan minoriti.
Sekularisme selalu dikaitkan dengan Zaman Kesedaran di Eropah dan ia memainkan peranan penting dalam masyarakat Barat.
Prinsip-prinsipnya walaupun tidak semestinya amalannya seperti pemisahan dia antara gereja dan negara di Amerika Syarikat dan Laicite di Perancis banyak bergantung dari idea sekularisme.
Seperti di Barat,ideologi pemisahan di antara agama & negara wujud di India sejak zaman dahulu lagi.Masyarakat India moden juga berasaskan kepada nilai ini.
Masyarakat sekular juga wujud semasa Zaman Kegemilangan Islam.
Kerana kepercayaan agama dan negara harus dipisahkan,golongan sekular lebih suka ahli politik membuat keputusan berdasarkan alasan sekular dan bukannya agama.
ETIKA SEKULARISME
George Holyoake dalam “English Secularism” yang diterbitkan pada 1896 menerangkan sekularisme sebagai :
“Sekularisme adalah aturan peraturan yang berkaitan dengan kehidupan,berdasarkan nilai-nilai kemanusiaan dan disasarkan kepada mereka yang mendapati ajaran agama tidak mencukupi,tidak boleh dipegang atau tidak boleh dipercayai.Prinsip pentingnya ada tiga :
(1) Memperbaiki kehidupan dengan cara kebendaan
(2) Bahawa sains itu adalah panduan hidup bagi manusia
(3) Apa sahaja yang baik itu adalah baik untuk dilakukan.
Samada wujud kebaikan atau tidak,kebaikan yang wujud dalam kehidupan adalah lebih baik,dan adalah baik untuk mencari kebaikan tersebut”
Holyoake berpegang kepada prinsip bahawa sekularisme dan etika sekular tidak harus menunjukkan minat terhadap persoalan keagamaan (iaitu agama itu tidak penting) dan harus membezakan ia dari ateisme.
Dalam hal ini,beliau bercanggah dengan Charles Bradlaugh dan percanggahan ini membahagikan gerakan sekularisme kepada mereka yang anti-agama dan mereka yang bukan anti-agama6
KEMUNCULAN SEKULARISME DI NEGARA BARAT (EROPAH)
Masyarakat Eropah Barat pada abad pertengahan/Abad Gelap (Dark Ages) sekitar dari kurun ke-6 hingga kekurun ke-16 Masihi hidup dibawah pemerintahan dan kekuasaan gereja dan pendeta gereja.
Dinamakan Abad Gelap kerana gereja menguasai kehidupan masyarakat barat ketika itu dari semua aspek sosial,agama dan pemikiran.
Dari aspek sosial,masyarakat ketika itu terbahagi kepada masyarakat yang terlalu kaya dan yang terlalu miskin serta ditindas.
Dari aspek agama pula,mereka bersandarkan agama Kristian yang telah dipesong dan menjual surat pengampunan.
Dari aspek pemikiran pula,masyarakat hanya boleh berfikir apa yang digariskan oleh gereja dan pemikiran manusia tidak boleh bercanngah dengan gereja.
Semua ini adlah sebab kemunculan pemikiran sekularisme di Eropah untuk membebaskan masyarakat dari penjajahan dan pemerintahan gereja yang dahsyat dan seterusnya membawa masyarakat kepada kebebasan hidup dan berfikir (intellectual freedom).
Sekularisme disokong oleh masyarakat Barat kerana ia pergerakan ke arah modernisasi.7
SEKULARISME DI NEGARA ISLAM
Negara Islam timur sentiasa menjadi tumpuan dan perhatian masyarakat Barat untuk kembali menjajah dunia Islam dan mengeksploitasi kekayaannya.
Mereka memulakan satu sistem penjajahan baru yang tidak menggunakan senjata-senjata moden dan canggih selepas mereka kalah teruk di tangan masyarakat Islam pada perang Salib.
Mereka menyedari ketika itu Islam tidak boleh dikalahkan dengan kekuatan tentera dan senajata moden..Di atas kesedaran itu,mereka memulakan satu peperangan yang dikenali sebagai “perang saraf”.
Mereka memulakan peperangan ini dengan mengkaji dan mendalami pengetahuan tentang Islam bagi membantu mereka menyebarkan keraguan tentang Islam,Al-Quran,Nabi Muhammad S.A.W dan lan-lain.
Beberapa cara telah digunakan untuk itu,antaranya menghantar cendiakawan barat ke negara Islam bagi mengkaji ilmu pengetahuan tentang Islam,penjajahan negara-negara Islam dan lain-lain.
Semua ini membantu mereka menyuntik fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Islam ke dlam Negara dan Masyarakat Islam seperti sekularisme.
Di dalam sejarah Islam tidak pernah wujud fahaman yang memisahkan antara agama dan kehidupan baik dari segi ekonomi,sosial , pendidikan, perundangan , syariat dan politik.
Masyarakat Islam juga tidak pernah ketahui pemisahan di antara agama dan kehidupan.Tidak ada disisi mereka apa yang digelar sebagai agama dan apa yang digelar sebagai bukan agama.
Tidak pernah wujud dalam sejarah masyarakat Islam pendidikan yang digelar agama dan pendidikan bukan agama.
Tidak ada juga perundangan yang digelar sebagai agama dan perundangan bukan agama.Akan tetapi agama disisi mereka merangkumi semua aspek tersebut.
Tetapi masyarakat Islam mula diperkenalkan dengan pendekatan sekularisme iaitu memisahkan agama dari kehidupan mereka dari aspek pendidikan ,pengamalan,perundangan,sosial ,ekonomi dan politik ketika mana mulanya penjajahan terhadap negara-negara Islam.
Penjajahan ini meninggalkan kesan yang cukup besar kepada Negara Islam kerana penjajah telah membuang penyatuan diantara agama dan kehidupan,memansuhkan pengamalan hukum-hukum Islam kecuali pada urusan-urusan kecil seperti kekeluargaan dan lain-lain.
Mereka menggantikan perundangan mereka di negara jajahan mereka.
Selepas zaman penjajahan,Negara Islam masih lagi tidak terlepas dari agenda-agenda penjajahan yang halus.
Penjajah meninggalkan anak didik mereka dari kalangan negara yang dijajah bagi meneruskan agenda penjajahan mereka.Maka berterusanlah sehingga kini agenda sekularisme dalam Negara jajahan Eropah dari setiap aspek.
Undang-undang dan akta perlembagaan penjajah terus dimanifestasikan oleh anak didik penjajah yang memegang tampuk kepimpinan negara Islam.
Undang-undang Islam pula dikecilkan skopnya hanya sesuai digunakan dalam beberapa aspek sahaja sperti kekeluargaan,pembahagiaan harta pusaka,kutipan zakat dan pembahagiaannya dan beberapa skop kecil yang lain dengan mengenepikan skop-skop besar seperti perundangan negara dan lain-lain8
Secara kesimpulannya,Negara-negara Islam boleh dibahagikan kepada dua kategori dalam penerimaan sekularisme :
1)Sekularisme ekstrim – seperti negara Turki yang sebelum ini memisahkan di antara agama dan kehidupan secara menyeluruh
2)Sekularisme sederhana – seperti kebanyakan negara Islam yang lain yang mengiktiraf Islam sbagai agama rasmi tetapi tidak mempraktikkannya secara keseluruhan
Beberapa saluran digunakan oleh penjajah Eropah untuk memasukkan fahama sekularisme ke dalam negara dan masyarakat Islam.Antaranya :
Ekonomi:
Sikap cinta dan mengagungkan kemajuan dan modenisasi negara barat sebagai salah satu sebab kepada kemasukan fahaman sekularisme.Masyarakat Islam mengeksploitasi segala produk & keluaran barat ke negara Islam.
Sikap ini sangat disenangi Barat kerana Negara Islam bukan sahaja tempat pasaran produk mereka akan tetapi kaya dengan hasil bumi yang mereka boleh dapatkannya dengan cukup mudah dan murah.
Sosial
Penjajah Eropah bekerja keras demi memastikan masyarakat Islam dipesongkan dari ajaran dan agama panduan Islam supaya masyarakat Islam tunduk akan tunjuk ajar mereka.
Pelbagai cara digunakan bagi memastikan masyarakat Islam terus rosak dan lemah disamping sikap masyarakat Islam yang leka dan tidak mahu berpegang sungguh dengan ajaran Islam.
Mereka merosakkan institusi kekeluargaan,hubungan suami isteri dan lain-lain dengan memasukkan sikap pentingkan diri sendiri.
Begitu juga percampuran antara lelaki dan perempuan yang tiada batas.Semua ini merupakan ajaran sekularisme yang telah menyelinap masuk ke dalam masyarakat Islam tanpa disedari.
Pemikiran dan pendidikan
Antara usaha yang dilakukan dalam konteks ini,Eropah berusaha untuk menjauhkan sistem pendidikan jauh dari sandaran Islamdengan mengatakan sistem pendidikan Islam adalah lapuk dan jumud, mengubah sejarah Islam dan menggambarkan Islam semata-mata agama spritual dan tidak sesuai dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Dalam konteks media pula,ideologi sekularisme memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat Islam.Mereka menggunakan media percetakkan,media hiburan seperti television,radio dan internet bagi memasukkan pembawakan sekularisme mereka yang jauh dari agama.
Perundangan
Sistem perundangan sekularismeadalah perundangan yang berasaskan pemisahan agama dari kehidupan atau unreligious.
Mereka telah memasukkan sistem ini ke dalam Negara-negara Islam dari pelbagai aspek baik dari sudut perundangan sivil,perniagaan,jenayah dan sosial.
Musibah yang paling besar yang dialami Negara Islam ketika ini,institusi agama itu sendiri tidak mampu mempraktikkan hukum-hukum Islamdan seumpamanya.
Lihat sahaja apa hukuman yang dikenakan kepada mereka yang berzina,merompak,membunuh,minum arak dan lain-lain.Begitulah kesan yang ditinggalkan oleh penjajah sekulariske atas Negara Islam
Contoh pemerintahan Negara Islam sekular- Turki
Negara turki sebelum ini,sejak pemerintahan Kamal Artatuk,telah menerapkan perundangan sekular 100%.
Beliau memansuhkan khilafah Islamiah,memansuhkan syariat Islam dan menggantikannya dengan perundangann barat sekular,menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal,mengharapkan poligami,mengharamkan cerai,mengharamkan penutupan aurat bagi wanita,menyamakan lelaki dan perempuan,memansuhkan sistem auqaf,tarikat sufi,azan di masjid dan menukar azan kepada Bahasa Turki.
Sekularisme di negara turki ketika itu disebut satu contoh yang sangat teru kerana :
1) Turki merupakan Negara Islam yang pertama mendirikan pemerintahan sekularisme 100% dengan jelas&terang.Malah Turki dijadikan contoh kepada penubuhan Negara Islam sekularisme yang lain.
2) Turki sebelum itu adalah negara khilafah Islamiah yang menguasai dunia dengan hukum Islam.Kamal Artatuk yang bertopengkan kebaikan dipercayai oleh rakyat Turki akhirnya melumpuhkan sistem khilafah tersebut.
3) Turki juga ketika itu terlalu ekstrem dalam pembawakan sekularisme
(Bersambung pada bahagian ke-2 nanti..Insya-Allah..penjelasan Islam bagi menangkis sekularisme)
Disediakan oleh:
Ustaz Basir Bin Mohamed
Tahun 4
Uiversiti Al-Azhar,Kaherah
Rujukan:
1) Al-Islam wal-ilmaniah wajhan liwajhin,Dr.Yusuf Qardhawi,m/s 42,maktabah wahbah
2) Adhwa Ala Tayarat Muasarah,Dr.Majidah,m/s 26,Kuliah Dirasat Islamiyah Banat,Universiti Al-Azhar
3) Mina Tayarat Al-Fikriyah,Dr.Shuair dan Dr.Lawahiz,m/s 20 Kuliah Dirasat Banat,Universiti Al-Azhar
(Webster’s 3rd new international Dictionary pg.2053,USA,1971)
4) Wikipedia –http://ms.wikipedia.org/wiki/sekularisme
5) Enusekoledia Britain
6) Wikipedia –http://ms.wikipedia.org/wiki/sekularisme
7) Adhwa Ala Tayarat Muasarah,Dr.Majidah,m/s 27,Kuliah Dirasat Islamiyah Banat,Universiti Al-Azhar
8) Attaruf Al-Amani fi Muwajahatil Islam,Dr.yusuf Al-Qardhawi.m/s 105.cetakan Darus syuruq
Nota diri :
Boleh lihat sendiri video ini..Bagaimana kejatuhan Khalifah dikala pemerintahan Kamal Artatuk
Adakalanya kalau diimbas kembali..pernah dikeutarakan dari suara ucapan pemimpin,
“Kami tidak akan sama sekali mencampur adukkan agama dengan politik”..
Laungan yang disertakan tepukan gemuruh masyarakat..
Mungkin perlu direnung kembali..wallahua’alam.
No comments:
Post a Comment