Monday, June 27, 2011

Definisikan Kecemerlangan?


Bismillahirrahmanirrahim

Sedia atau tidak,fatrah imtihan kian menanti di penghujungnya.

Setiap dari kita,akan berbalik kepada satu sasaran ataupun matlamat bilamana tibanya fatrah imtihan - “Cemerlang”

Itulah fitrah dan naluri pemikiran seorang mahasiswa untuk dijadikan matlamat bilamana tiba musim peperiksaan ini.

Kerana kecemerlangan inilah akan membuahkan satu hasil yang semua daripada kita ingin kecapi – kegembiraan



Definisikan kecemerlangan?

“Dia tu,terrer betul..straight A tiap masa,selalu kena puji dengan doktor”

“Dia skor 3.7,memang hebat..kalaulah aku dapat cemerlang cam dia..”


Bilamana tiba fatrah imtihan,kejayaan & kecemerlangan yang dilihat adalah melalui skor dan pointer kita.

Siapa yang menggapai pointer tertinggi,skor terbaik dan gelaran mumtaz disisi,itulah yang dikira sebagai mereka yang cemerlang.


Kerana itulah apa yang digambarkan di dalam kehidupan harian kita. Seawal kita di bangku sekolah hinggalah di menara gading.

Kecemerlangan sebagai seorang pelajar mahupun mahasiswa ditakrifkan dan dinilai melalui sistem peperiksaan itu sendiri.

Itulah ukur jarak yang kita semai di dalam pemikiran seawal-awal kenalnya kita akan kecemerlangan.

Yang cemerlang skornya dipandang tinggi,yang lemah skornya,dikatakan antara orang yang gagal.

Dan tika itulah kita bertungkus-lumus memerah seluruh keringat kita untuk peroleh kecemerlangan bilamana tibanya musim peperiksaan hatta kerana penat-lelah siang dan malam,waktu solat tidak dijaga,solat berjemaah ditinggalkan dan yang paling mendukacitakan,solat itu sendiri ditinggalkan gara-gara kesibukan kita mengejar kecemerlangan yang diimpikan.

Maka apakah itu kita takrifkan sebagai cemerlang?


Kecemerlangan hakiki

Lihat sahaja pada sejarah hidup Firaun ketika di zaman Nabi Musa a.s.

Melihatkan ketamadunan Mesir yang dibinanya. Monumen-monumen didirikan,piramid gah berdiri sebagai penunjuk ketamadunan bangsa Mesir ketika itu.

Malahan piramid sehingga kini dikategorikan sebagai Wonders of the World.


Bagaimana pula dengan Qarun?

Hatta harta kekayaan miliknya disimpan di dalam gudang yang teramat besar hinggakan kunci gudangnya itu terpaksa diangkut oleh beberapa orang hamba.

Kedua-dua mereka boleh ditafsirkan sebagai orang yang cemerlang kerana mereka berjaya mengaut harta kekayaan dunia dan berjaya membina tamadun mereka,lebih hebat dari kita yang hanya peroleh mumtaz tikamana fatrah imtihan menjelma.

Tapi,kerana takabbur dan kesombongan mereka akan kecemerlangan & kejayaan yang diperoleh mengundang kekufuran yang abadi di dalam hati mereka.


Allah s.w.t berfirman dalam surah as-syura ayat 36 yang bermaksud :

“Apapun (kenikmatan) yang diberikan kepadamu, maka itu adalah kesenangan hidup di dunia. Sedangkan apa (kenikmatan) yang ada di sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal



Maka,adakah salah untuk kita mencapai kecemerlangan di dalam peperiksaan?

Tidak.

Malahan cemerlang dalam setiap sudut apa yang kita lakukan dalam hidup ini adalah amat dituntut di dalam Islam.

Islam inginkan umatnya cemerlang dalam setiap aspek di dalam kemampuan individu muslim itu sendiri dengan harapan kecemerlangan ini dapat dijana untuk menegakkan syiar Islam di persada dunia.

Bagaimana kita takrifkan,kita pandang konsepnya serta cara untuk kita capai kecemerlangan, itulah yang sebenarnya perlu kita rujuk dan muhasabah kembali dalam diri kita.


Kecemerlangan hakiki adalah kecemerlangan kemuncak yang tidak memerlukan kecemerlangan lain selepas itu. Islam membicarakan berkenaan kecemerlangan kemuncak ini.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 185 yang bermaksud :

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh dia memperoleh kejayaan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya”


Ya. Kecemerlangan yang dicari sebagai seorang mukmin adalah kenikmatan pengakhiran di syurga. Golongan inilah yang Islam takrifkan sebagai golongan yang cemerlang dan berjaya di dalam hidupnya.

Pengakhiran inilah yang menjadi matlamat kecemerlangan hakiki seorang muslim.



Bagaimana pula untuk menghubungkan semua ini dengan matlamat kita untuk cemerlang di dalam peperiksaan?

Carilah kecemerlangan dalam keberkatan.

Jagalah hubungan kita dengan Allah s.w.t sepanjang kesibukan dan ketekunan kita berusaha untuk mencapai kecemerlangan di dalam peperiksaan.

Di samping juga,menjaga perhubungan kita dengan manusia.

Menjaga percakapan kita,penghormatan kita pada sahabat,perhubungan kita dengan ibu bapa dan juga kepada guru-guru kita.

[muhasabah buat diri penulis jua]

Setiap elemen ini saling melengkapi dalam menggapai kecemerlangan yang diredhaiNya.

KeredhaanNya inilah yang ingin kita cari untuk sampaikan kecemerlangan kita di dunia ini sebagai kecemerlangan kita di akhirat kelak.

Insya-Allah,setiap penat lelah usaha kita bertungkus-lumus untuk menggapai kejayaan akan dikira sebagai pahala ibadah kepadaNya.

Keberkatan atas semua usaha ini adalah sebagai ‘saham’ untuk kita laburkan di akhirat kelak.

Mudah-mudahan inilah kecemerlangan hakiki yang ingin kita semai di hati..Wallahua’alam~


Bitaufiq wannajah buat sahabat-sahabat Tahun 3,Kuliah Perubatan yang kini sedang menghadapi fatrah imtihan akhir semester.

Rabbuna yusahillukum.