Tuesday, August 30, 2011

Ramadhan Berganti Syawal


Bismillahirrahmanirrahim

Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..Walillahilham..

Sedar tidak sedar,Ramadhan sudahpun meninggalkan kita dan syawal pula yang menjelma.

Alhamdulillah,saya diberi peluang untuk kembali pulang beraya di tanah air bersama keluarga. Sememangnya sambutan raya di Malaysia disambut dengan meriahnya.

Rumah terbuka,duit raya dan seumpamanya. Pelbagai kemeriahan mewarnai suasana raya di Malaysia. Kagum juga melihatkan mereka yang bangsa/agama lain turut bersama datang menziarahi rumah-rumah sahabat mereka yang menyambut raya.

Namun,saya tetap terkenang saat-saat di Mekah Al-Mukarramah tahun lepas. Akhir Ramadhan,disambut dengan titisan air mata melihatkan Ramadhan berlalu pergi meninggalkan semua.

Bukan mudah untuk merasakan saat-saat kemanisan iman,sedih kerana berlalunya pergi satu bulan yang penuh istimewa yang di dalamnya penuh dengan maghfirah dariNya. Rindu rasanya untuk merasakan kemanisan sebegitu rupa.

Jujur,memang susah untuk membentuk suasana sebegitu rupa di Malaysia. Eidul Fitri lebih meriah dari kesedihan Ramadhan yang meninggalkan mereka.

“Allahuma thabbit qullubana ‘ala diinik wa tho’atik”



Berakhirkah Ramadhan?

Berakhirkah Ramadhan?

Ya. Ramadhan memang sudah berlalu atau berakhir meninggalkan kita untuk kalendar hijriah tahun ini.

Kata orang,sesuatu yang berlalu pergi tidak mungkin akan berlalu begitu sahaja. Mesti ada kesannya dalam kehidupan kita.

Maka,kita teliti kembali ayat yang kerap-kali bergema di kala bulan Ramadhan menjelma :

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu,mudah-mudahan kamu bertakwa

[Surah al-Baqarah : 183]


“La’allakum tattaqun” – mudah-mudahan/agar kamu bertakwa

Kalaulah kita di dunia,dibina sekolah-sekolah untuk mendidik dan membentuk anak-anak kita supaya menjadi generasi yang berjaya di pengakhiran pendidikan mereka.

Maka,begitulah juga sekolah ataupun madrasah Ramadhan Allah s.w.t yang disediakan kepada umat baginda Muhammad s.a.w,di mana matlamat madrasah/akademi Allah s.w.t ini adalah untuk membina generasi yang bertakwa kepadaNya.

Alangkah bertuahnya kita diberi peluang atau disampaikan hayat kita untuk hidup dalam bulan pentarbiyyahan kurnianNya.

Justeru,dengan berakhirnya Ramadhan,maka apakah sudah dijamin kita sudah mencapai sebenar-benar takwa kepadaNya?

Realiti hari ini sudah cukup untuk titip kesedihan di hati kita.

Ramai orang yang menyangka bahawa dalam bulan Ramadhan sahaja mereka perlu menjadi ‘alim’ belaka.Ketika itulah baru ingin nampakkan jejak di rumah Allah.

Berduyun-duyun manusia turun memenuhi saf-saf masjid dan surau di tika di awal Ramadhannya. Kemudiannya,hanya satu-dua saf sahaja yang tegak berdiri di malam-malam akhirnya

Maka,berakhirnya Ramadhan, dengan itu berakhirlah sketsa kehidupan ‘alim’ mereka. Kembali menjadi seperti dahulu kala,meninggalkan perkara fardhu yang dituntut ke atas mereka.

Saf-saf masjid atau surau di malam harinya akan kembali menjadi satu-dua saf sahaja. Tazkirah-tazkirah maghrib ataupun kuliah/daurah kitab mingguan hanya akan tinggal beberapa kerat sahaja atau mungkin kitab Al-Quran akan kembali menjadi perhiasan semata.

Justeru,mengapakah fenomena ini boleh berlaku dalam masyarakat dinihari?

Mungkin antara satu jawapannya, bilamana sambutan Ramadhan itu hanya menjadi adat semata. Tidaklah difahami sebab dan hikmah tuntutan mempertingkatkan amal dan diwajibkan berpuasa di dalamnya.

Maka,tercapaikah matlamat “la’allakum tattaqun” dalam melalui akademi Allah s.w.t ini dalam kehidupan kita?

Tepuk dada,tanya iman.


Takwa

Saya tertarik dengan perkongsian tazkirah Ramadhan di surau kawasan kediaman beberapa hari yang lepas yang merungkai sedikit perkongsian akan konsep & manifestasi takwa.

Allah s.w.t menerangkan ciri-ciri orang-orang yang bertakwa di dalam surah al-Baqarah, antara yang terawal kita akan temui tikamana kita meneliti pembacaan al-Quran kita :

“Iaitu mereka yang beriman dengan perkara-perkara ghaib,mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan pada mereka.

Dan mereka yang beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelum mereka dan mereka yakin akan adanya akhirat”

[surah al-Baqarah : 3 -4]


Pelbagai definisi dan tafsiran juga telah diberikan oleh golongan alim ulama’ akan takwa.

Namun saya tertarik dengan apa yang diperkatakan oleh Saidina Ali karramAllahu wajhah,sesuai untuk dipetik kata-kata beliau dengan kedudukan beliau yang dimuliakan oleh baginda Rasullah s.a.w sebagai “pintu kepada gedung ilmu”.

Saidina Ali karramAllahu menyatakan bahawa takwa itu merangkumi 4 perkara :

(i) al-khauf min al-jalil – Takut kepada Allah yang Maha Tinggi
(ii) wal amal bil tanzil – dan beramal dengan apa yang diturunkan [Al-Quran]
(iii) wal ist’idad lil yaumirrahil – dan bersedia bagi hari yang dia berangkat menuju [kepadaNya - yakni hari Akhirat]
(iv) warridha bil qalil – dan redha dengan perkara sedikit [yang dikurniakan Allah s.w.t]


Secara teori ataupun kedengaran sahaja mudah untuk kita membentuk takwa di dalam diri kita.

Namun,realitinya bukan mudah untuk sebenar-benar untuk kita bentuk ia dalam diri kita sebagaimana didikan ketakwaan yang ditunjukkan oleh para khulafa ar-rasyidin dan para sahabat yang lain.

Apatah lagi untuk berdepan dengan realiti masyarakat masa kini ataupun masyarakat kehidupan akhir zaman ini. Pelbagai rintangan ataupun mihnah yang perlu ditempuhi.

Setiap langkah kita pelu dijaga dan diperhati.

Maka,kita boleh merenung apa yang ditanya oleh Saidina Umar al-Khatab r.a kepada Ubai bin Kaab r.a tentang maksud takwa.

Ubai bin Kaab bertanya kembali ,“Pernahkah kamu berjalan di sebatang jalan yang dipenuhi dengan duri? Umar menjawab ,“Ya,pernah .

Ubai bertanya lagi ,“Apa yang kamu lakukan ketika itu?”. Jawab Umar,“Aku berjalan dengan berhati-hati dan bersungguh-sungguh”

Maka,Ubai bin Kaab r.a menjelaskan,“Itulah takwa


Dua perkara di dalam perkongsian tazkirah yang ditekankan untuk terus membina dan memantapkan ketakwaan kita padaNya adalah untuk istiqamah dan ikhlas akan setiap yang kita lakukan.

Antara dua sifat inilah yang mampu kita terus-menerus meningkatkan ketakwaan demi untuk mencapai keredhaanNya.

Istiqamah akan setiap amalan kebaikan yang kita lakukan.Biarlah permulaannya sedikit namun terus-menerus kita lakukan.

Ikhlas akan setiap amalan atau ibadah yang kita laksanakan. Dengan sebab itulah para ulama’ sentiasa mengingatkan bahawa jaminan syurga itu adalah dengan keredhaan dan rahmatNya bukannya bergantung pada jumlah amalan semata.

Bagaimana untuk mencapai keredhaanNya untuk setiap amalan kita?. Sudah tentu dengan ikhlaskan setiap amalan kita hanya “lillahi ta’ala”.


Terus dan pertahankan yang telah terbina

Sahabat,

Belum tentu akan dijamin kita akan bertemu dengan Ramadhan seterusnya untuk kita membersihkan kembali koleksi-koleksi dosa yang terkumpul di bulan-bulan yang sebelumnya.

Justeru,sewajarnya dalam diri kita ditanamkan tekad ataupun keazaman untuk mengekalkan amalan-amalan di bulan Ramadhan yang lepas untuk bulan-bulan yang seterusnya.

Ibaratnya adalah kita berusaha untuk mengekalkan lifetime battery iman untuk hari-hari yang mendatang hingga memasuki waktu charge Ramadhan yang seterusnya.

Manfaatkan sebaiknya apa yang telah kita perolehi daripada pentarbiyyahan madrasah Ramadhan sebelumnya.

Ingat,syaitan-syaitan sudahpun dilepaskan, membentuk tentera bekerjasama kembali dengan nafsu kita untuk menggugat benteng keimanan dan ketakwaan yang sudah terbina.

Maka,apakah kita sudah bersedia?

“Allahuma thabbit qullubana ‘ala diinik wa tho’atik”
[Ya Allah,tetapkanlah hati kami kepada agamaMu dan ketaatan kepadaMu]



Nota Kaki:

Saya sangat-sangat takut dan risau akan setiap peringatan yang saya catitkan pada blog ini. Maka,ia adalah menjadi kewajipan dan amanah pada saya untuk laksanakan ia terlebih dahulu.

Pesan seorang sahabat saya,jangan jadikan ia suatu sebab untku kita tidak saling mengingati dan berpesan-pesan pada hak dan kebenaran.

Moga ditetapkan hatiku ini,Ya Allah.Amin~


No comments:

Post a Comment