Friday, July 1, 2011

Biarlah susah


[catatan : 29 Jun 2011]

Saya lihat sekeliling sepanjang perjalanan di dalam tram..

Hati saya pilu melihatkan anak-anak miskin, compang-camping pakaiannya, rupa paras yang tidak seolah-olah tidak terurus, menyelusuri kesibukan jalan di Syaban Muslimin..

Mereka menjual tisu dan ada juga kelihatan kain di tangannya..menawarkan khidmat untuk mengelap kotoran-kotoran di kereta, mengharapkan sedikit upah dihulurkan dari pemandu-pemandu yang berhenti menunggu isyarat jalan.

Ya..mereka hidup dalam keadaan susah.. Mengharapkan sisa-sisa belas kasihan daripada masyarakat sekelilingnya..

Satu muhasabah buat diri ini..


Tahun ini memang banyak menduga..Pelajaran, peperiksaan, amanah & tanggungjawab..Tidak hairan hati yang lemah ini kadang-kala mengeluh jua

“Biarlah susah,kebahagiaan sedia menanti..”

Allah..teringat kembali,jawapan yang menjadi kekuatan hati selama ini..


Biarlah susah

Hanyalah satu perkongsian akan hakikat kesusahan yang dihadapi dalam hidup kita ini..Moga bermanfaat.


“Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya….”

[al-Baqarah :286]

Memang kebenaran yang tertulis di kitab suci Al-Quran Karim..Allah s.w.t Maha Mengetahui kemampuan hamba-hambaNya..

Setiap apa kesusahan yang terutus adalah apa yang dimampu dilalui oleh hambaNya..Kesusahan inilah yang membantu hambaNya untuk terus-menerus bergantung padaNya..

Kesusahan inilah yang membina jiwa-jiwa muslim sebagai satu sumber kekuatan..Didikan & pentarbiyyahan..

Kalau tidak,kita tidak akan dengar pepatah menyatakan :

“Kemanisan semanis madu, memerlukan cabaran sepahit hempedu”

“Sesiapa yang tidak pernah merasai kepahitan, tidak akan mengenal kemanisan


Begitulah hidup kita sebagai mahasiswa Perubatan..

Dihimpit dengan jadual yang padat, jadual peperiksaan yang kerap dan kesukaran untuk menjawab soalan peperiksaan.

Tekanan..

Kadang-kalanya meletihkan..

Saya masih ingat kepulangan saya ke Malaysia..sempat saya lawat adik-adik di sekolah lama saya..Bila bertanyakan siapa hendak mengambil jurusan Perubatan..

Diam..sunyi..

Tiada siapa yang mengangkat tangan, sedangkan saya sedang bertanya kepada pelajar jurusan Sains Tulen..

Tiada siapa yang berminat..dan bilamana ditanyakan mengapa,jawapannya cumalah satu..

“Susah sangat..”


Kenangkan mereka

Berkata tentang kesusahan,hati saya terkenang melihatkan saudara-saudara kita di Palestin..Mereka lebih berhak diletakkan erti kesusahan yang benar-benar menguji.

Apakah tidak..

Pernahkah kita merasa senjata terhulur betul-betul di hadapan muka kita?
Pernahkah kita merasa perit kepedihan & kepanasan letupan bom fosforus berdekatan dengan kulit kita?
Pernahkah kita merasa sebutir peluru menembusi fizikal kita?


Serangan bom fosforus oleh Israel


Pilu dan pedih melihatkan saudara kita merasakan semua ini..terlalu ringan untuk ditimbangkan-tarakan dengan kesusahan yang perlu kita hadapi..

Dan kini,mereka terus-menerus dikejami oleh Zionis laknatullah..namun,masih teguh mereka berdiri.

Hatta yang lahir daripada mulut anak-anak Palestin bertanyakan apa cita-cita mereka,bukanlah untuk menjadi seorang doktor, jurutera, sainstis dan seumpamanya..

“Hanya untuk syahid..”

Allah..

Semulia-mulia ganjaran yang bakal mereka terima atas cita-cita mereka..

Kalaulah bertanyakan pada kita, apakah sanggup ditembusi fizikal kita ini dengan peluru-peluru & bom-bom Zionis laknatullah alaih sebagai cita-cita kita?..belum tentu kita akan bagi jawapan seperti mereka.

Dari mana kekuatan ini hadir dikala kesusahan & kesempitan menimpa mereka?

Didikan kesusahan inilah yang mendidik mereka..ibu bapa ditembak di hadapan mata mereka,dihimpit kebuluran, sekatan bantuan,kem pelarian dicerobohi..

Kesemuanya meletakkan mereka semakin bergantung kepada Allah s.w.t..Membina keyakinan mereka, membina kekuatan mereka sebagai jundullah…

Yakin bahawa Allah bersama mereka..

Kemudiannnya, yang tinggal hanyalah ganjaran untuk syahid demi menembus kesusahan mereka di dunia..

Saya kagum dengan mereka..Semoga balasan syurga mengiringi perjuangan mereka..


Sahabat,

Kita nilai kembali apakah akan ada samanya kesusahan kita dengan mereka?

Mereka di sana berjuang mengangkat senjata, kita di sini hanyalah dengan sebatang pen & pensil sebagai senjata perjuangan kita sebagai seorang mahasiswa Perubatan.

Kita hanya tertekan tikamana peperiksaan menjelma,pelbagai perlu dibaca..
Kita hanya tertekan melihatkan kepadatan jadual harian kita..
Kita hanya tertekan merasakan betapa payahnya ilmu perubatan ini buat kita
..

Terlalu berbeza tekanannya dengan mereka..


Keletihan..kepenatan..kegagalan..putus asa..kecewa..

Kesemuanya datang membebani kita, kerana inilah hakikat kepayahan untuk kita berada di dalam bidang ini..

Mungkin ada yang memilih untuk lari dari kesusahan, dipilih jalan kesenangan.
Pilih untuk ponteng kuliah, melarikan diri daripada kepadatan masa & waktu kita..

Mungkin ada yang memilih untuk berputus asa dari kesusahan..mengaggap ia takdir ketentuan Tuhan.
Putus asa dengan kelemahan diri,membiarkan ia tidak dibaiki.

Mungkin ada yang memlilih untuk berehat dari kesusahan ini..mendahulukan kesenangan,kemudiannya terlalu berat untuk menyambung kembali perjuangan..


Mungkin juga pernah mendengar perbualan ini :
“Ala,kita tengok movie dulu, esok baru kita study..ada banyak masa lagi untuk study”

Esoknya :
“Ada lagi dua hari…sempat lagi..boleh layan movie lagi..takyah nak tension2 exam..”

Sehari sebelum peperiksaan :
“Arrgghhh..tensionnya..banyak pulak kena baca!”

Bertangguh dahulu dengan kesenangan ini banyak meletakkan kita dalam dilemma untuk berdepan dengan kesusahan kehidupan.

Bagaimana mahu dipinta hikmah dalam kesusahan jikalau kita ingin dimanjakan dengan kesenangan?


Sahabat,

Lihat kembali pada perjuangan baginda Rasullah s.a.w dan para sahabat, perjuangan untuk mengembangkan syiar Islam dilalui dengan pahit jerih perjuangan.

Baginda Rasullah s.a.w dilontar dengan batu hinggakan betis baginda berdarah ketika menziarahi Thaif. Dilontar dengan najis malahan dirancang pembunuhan untuk membunuh baginda s.a.w oleh musyrikin Mekah..

Segalanya dilalui dengan pahit kepayahan dalam menjalankan dakwah baginda s.a.w terhadap umatnya..Namun,baginda tetap selimuti dengan cahaya kesabaran,kelembutan & sifat penyayang baginda terhadap umatnya..

[Segala selawat dan salam pada junjungan besar baginda Nabi Muhammad s.a.w]..

Para sahabat pula syahid menegakkan Islam tercinta..Darah mereka mengalir demi mempertahankan kesucian agama Allah..

Atas nama syaria’t Islam para syuhada’ sanggup berdepan lontaran-lontaran tombak,panahan anak panah & penindasan beterusan oleh kaum kuffar..

Tidak pernah terlintas untuk lari dari perjuangan Islam..kerana mengerti bahawa kesabaran dalam kepayahan semua ini akan dinantikan ganjaran syurga di hadapannya..

Dan kerana pahit jerih perjuangan mereka inilah,kita menikmati nikmat Islam pada hari ini..


Syeikh Dr.Yusuf al-Qardhawi menulis di dalam kitabnya “Al-Imaanu wal-hayaah”
[Terjemahan Dewan Pustaka Fajar : “Iman & Kehidupan”]

Beliau mengambil contoh Urwah Bin Zubair(seorang ahli fiqh besar) dalam mengisahkan tentang kesulitan dalam kehidupan :

Menurut riwayat,Urwah bin Zubair ditakdirkan sebelah kakinya berpenyakit, menyebabkan para doktor berpendapat supaya dipotong kakinya untuk tidak menular ke bahagian yang lain.

Maka,doktor menyuruh beliau minum suatu minuman yang akan memberi kesan kepada akalnya bagi menghilangkan rasa sakit beliau ketika proses pemotongan.

Akan tetapi,Urwah menjawab :

“Aku tidak mengira, bahawa seseorang yang beriman kepada Allah akan meminum sesuatu yang menghilangkan kewarasannya, sehinga dia tidak mengenal dan ingat lagi akan Tuhannya. Biarlah kakiku ini kamu potong

Lalu dipotong lututnya. Beliau diam sahaja, tidak berkata apa-apa dan tidak mengeluh atau merintih walau sedikit.

Selanjutnya,ditakdirkan lagi kepada diri Urwah untuk diuji keimanannya,di malam hari kakinya dipotong itu,terjatuh pula putera kesayangannya dari tingkat atas rumah lalu meninggal dunia.

Maka,kawan-kawannya datang menyampaikan takziah kepada beliau.

Beliau mengucapkan :

“Ya Allah!Pujian untuk Engkau..Anakku tujuh orang,lalu Engkau ambil satu dan tinggal enam orang.
Kaki dan tanganku ada empat,Engkau ambil satu dan tinggal tiga.

Kalau Engkau yang mengambil,maka Engkau juga yang memberikan.
Kalau Engkau yang memberikan cubaan,sesungguhnya Engkau juga yang menyelamatkan

Demikianlah bimbingan iman meneguhkan hati,di kala mengalami kesusahan & penderitaan.


Terus Kuat

“Sesungguhnya manusia itu Kami ciptakan hidup dalam susah payah”
[al-Balad :4]

Hidup tidak pernah sentiasa mudah..1001 kepahitan perlu kita hadapi hanya untuk satu kemanisan.

Begitulah prosesnya dalam kehidupan kita sebagai mahasiswa Perubatan.

Segala tekanan, usaha menampakkan kegagalan, kejatuhan, kecewa & sedih.

Segalanya mengajar kita untuk terus-menerus bergantung padaNya, menyedari hakikat bertapa lemahnya kita sebagai seorang hamba.

Kerana kebergantungan inilah kita semakin mengenaliNya..mengukuhkan iman & keyakinan di hati..
Hingga tiada apa yang dipinta dari setiap kesusahan ini hanyalah untuk keredhaanNya..

Mencari kebahagiaan yang sedia menanti..


Ayuh,bangkit!..

Keluar dari keresahan dan kekecewaan diri..
Keluar dari kemalasan dan kesombongan diri..

Terus menerus kuat dan melatih diri..
Semoga redha Ilahi menemani diri..


wallahua'alam..


Monday, June 27, 2011

Definisikan Kecemerlangan?


Bismillahirrahmanirrahim

Sedia atau tidak,fatrah imtihan kian menanti di penghujungnya.

Setiap dari kita,akan berbalik kepada satu sasaran ataupun matlamat bilamana tibanya fatrah imtihan - “Cemerlang”

Itulah fitrah dan naluri pemikiran seorang mahasiswa untuk dijadikan matlamat bilamana tiba musim peperiksaan ini.

Kerana kecemerlangan inilah akan membuahkan satu hasil yang semua daripada kita ingin kecapi – kegembiraan



Definisikan kecemerlangan?

“Dia tu,terrer betul..straight A tiap masa,selalu kena puji dengan doktor”

“Dia skor 3.7,memang hebat..kalaulah aku dapat cemerlang cam dia..”


Bilamana tiba fatrah imtihan,kejayaan & kecemerlangan yang dilihat adalah melalui skor dan pointer kita.

Siapa yang menggapai pointer tertinggi,skor terbaik dan gelaran mumtaz disisi,itulah yang dikira sebagai mereka yang cemerlang.


Kerana itulah apa yang digambarkan di dalam kehidupan harian kita. Seawal kita di bangku sekolah hinggalah di menara gading.

Kecemerlangan sebagai seorang pelajar mahupun mahasiswa ditakrifkan dan dinilai melalui sistem peperiksaan itu sendiri.

Itulah ukur jarak yang kita semai di dalam pemikiran seawal-awal kenalnya kita akan kecemerlangan.

Yang cemerlang skornya dipandang tinggi,yang lemah skornya,dikatakan antara orang yang gagal.

Dan tika itulah kita bertungkus-lumus memerah seluruh keringat kita untuk peroleh kecemerlangan bilamana tibanya musim peperiksaan hatta kerana penat-lelah siang dan malam,waktu solat tidak dijaga,solat berjemaah ditinggalkan dan yang paling mendukacitakan,solat itu sendiri ditinggalkan gara-gara kesibukan kita mengejar kecemerlangan yang diimpikan.

Maka apakah itu kita takrifkan sebagai cemerlang?


Kecemerlangan hakiki

Lihat sahaja pada sejarah hidup Firaun ketika di zaman Nabi Musa a.s.

Melihatkan ketamadunan Mesir yang dibinanya. Monumen-monumen didirikan,piramid gah berdiri sebagai penunjuk ketamadunan bangsa Mesir ketika itu.

Malahan piramid sehingga kini dikategorikan sebagai Wonders of the World.


Bagaimana pula dengan Qarun?

Hatta harta kekayaan miliknya disimpan di dalam gudang yang teramat besar hinggakan kunci gudangnya itu terpaksa diangkut oleh beberapa orang hamba.

Kedua-dua mereka boleh ditafsirkan sebagai orang yang cemerlang kerana mereka berjaya mengaut harta kekayaan dunia dan berjaya membina tamadun mereka,lebih hebat dari kita yang hanya peroleh mumtaz tikamana fatrah imtihan menjelma.

Tapi,kerana takabbur dan kesombongan mereka akan kecemerlangan & kejayaan yang diperoleh mengundang kekufuran yang abadi di dalam hati mereka.


Allah s.w.t berfirman dalam surah as-syura ayat 36 yang bermaksud :

“Apapun (kenikmatan) yang diberikan kepadamu, maka itu adalah kesenangan hidup di dunia. Sedangkan apa (kenikmatan) yang ada di sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal



Maka,adakah salah untuk kita mencapai kecemerlangan di dalam peperiksaan?

Tidak.

Malahan cemerlang dalam setiap sudut apa yang kita lakukan dalam hidup ini adalah amat dituntut di dalam Islam.

Islam inginkan umatnya cemerlang dalam setiap aspek di dalam kemampuan individu muslim itu sendiri dengan harapan kecemerlangan ini dapat dijana untuk menegakkan syiar Islam di persada dunia.

Bagaimana kita takrifkan,kita pandang konsepnya serta cara untuk kita capai kecemerlangan, itulah yang sebenarnya perlu kita rujuk dan muhasabah kembali dalam diri kita.


Kecemerlangan hakiki adalah kecemerlangan kemuncak yang tidak memerlukan kecemerlangan lain selepas itu. Islam membicarakan berkenaan kecemerlangan kemuncak ini.

Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 185 yang bermaksud :

“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh dia memperoleh kejayaan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya”


Ya. Kecemerlangan yang dicari sebagai seorang mukmin adalah kenikmatan pengakhiran di syurga. Golongan inilah yang Islam takrifkan sebagai golongan yang cemerlang dan berjaya di dalam hidupnya.

Pengakhiran inilah yang menjadi matlamat kecemerlangan hakiki seorang muslim.



Bagaimana pula untuk menghubungkan semua ini dengan matlamat kita untuk cemerlang di dalam peperiksaan?

Carilah kecemerlangan dalam keberkatan.

Jagalah hubungan kita dengan Allah s.w.t sepanjang kesibukan dan ketekunan kita berusaha untuk mencapai kecemerlangan di dalam peperiksaan.

Di samping juga,menjaga perhubungan kita dengan manusia.

Menjaga percakapan kita,penghormatan kita pada sahabat,perhubungan kita dengan ibu bapa dan juga kepada guru-guru kita.

[muhasabah buat diri penulis jua]

Setiap elemen ini saling melengkapi dalam menggapai kecemerlangan yang diredhaiNya.

KeredhaanNya inilah yang ingin kita cari untuk sampaikan kecemerlangan kita di dunia ini sebagai kecemerlangan kita di akhirat kelak.

Insya-Allah,setiap penat lelah usaha kita bertungkus-lumus untuk menggapai kejayaan akan dikira sebagai pahala ibadah kepadaNya.

Keberkatan atas semua usaha ini adalah sebagai ‘saham’ untuk kita laburkan di akhirat kelak.

Mudah-mudahan inilah kecemerlangan hakiki yang ingin kita semai di hati..Wallahua’alam~


Bitaufiq wannajah buat sahabat-sahabat Tahun 3,Kuliah Perubatan yang kini sedang menghadapi fatrah imtihan akhir semester.

Rabbuna yusahillukum.


Thursday, April 28, 2011

Hatiku Milikmu


Bismillahirrahmanirrahim

Singkatnya ruang masa melingkupi diri,sedikit sebanyak membatasi hari-hari saya untuk isi ruangan penulisan di blog ini..

Justeru,saya kongsikan link download sebuah novel (ringkasan) untuk tatapan pembaca sekalian..

Pembacaan yang tidak disangka..terjumpa, ketikamana saya sedang kemas-kini file-file di dalam external hard disk..




"Iman mengubah hati insan,menjadikan pemikiran seseorang itu tunduk pada kebenaran"



Moga bermanfaat buat pembaca..

Selamat membaca..


Monday, April 4, 2011

Pilihan Raya Batch


Bismillahirrahmanirrahim..

Seawal-awalnya di dalam penulisan saya ini..

Sebagai rangkap baris pertama ingin saya tujukan kepada sahabat sekalian yang membaca adalah untuk Meminta Maaf atas segala salah dan silap saya samada ada dari segi kekasaran bahasa, kelemahan mengendalikan majlis ataupun kelemahan dalam menyampaikan maklumat ketikamana majlis pilihan raya batch semalam..

Sesungguhnya saya adalah selemah-lemah hambaNya yang hina dan sedia menerima teguran yang diberi..

Awwalan,saya ingin menjelaskan setiap perkara di dalam dewan kuliah pada hari ini, namun memikirkan perihal untuk tidak mengkusutkan keadaan yang sedia ada dan sebagai menghormati keadaan sahabat yang lain yang tidak terlibat bagi memberi peluang kepada mereka untuk memberikan perhatian sepenunya terhadap pembelajaran mereka.

Justeru,saya memilih untuk menulis di dalam blog ini dan berharap penerangan yang saya catitkan melalui medium blog ini dapat meredakan keadaan yang sedia ada..

Sebarang komen,luahan ataupun cadangan sahabat amat saya alukan melalui blog ini..Insya-Allah,mana yang termampu bagi saya untuk mencari jalan penyelesaiannya,saya akan cuba sedaya-upaya untuk menyelesaikannya..

Perihal Organisasi Batch

Saya meminta maaf atas kelemahan daripada saya yang kesuntukan masa untuk menerangkan lebih terperinci rasionalisasi penubuhan organisasi Batch.

Justeru,saya lampirkan kembali kertas cadangan (secara ringkas) mengapa pada sesi ini PCI mengambil inisiatif untuk menubuhkan Organisai Batch :

2.0 Rasional

1)Bilangan ahli PCI yang semakin ramai

· Tumpuan dan target bagi setiap pelaksanaan gerakkerja PCI tidak dapat dipadukan.Objektif kurang tercapai.

· Ketiadaan tempat program yang sesuai untuk melibatkan semua ahli.Tempat yang terbesar dan terbaik ialah Tingkat 3 Asrama MARA yang hanya boleh memuatkan seramai 200 orang sahaja.

2)Menyediakan medan yang lebih luas untuk semua ahli terlibat dan mengambil pengalaman dalam urusan berorganisasi.

3)Kepelbagaian kehendak/keperluan bentuk program dikalangan ahli.

4)Pembahagan tugas dan gerakkerja yang lebih tersusun dan membantu kelangsungan gerakkerja antara Organisasi PCI dan Organisasi Batch.

5)Mengurangkan sedikit masalah birokrasi yang berlebihan dalam gerakkerja.

Saya lampirkan juga bahagian yang tidak sempat saya terangkan berkaitan perihal organisasi Batch..Moga dapat memberi penerangan yang jelas buat sahabat sekalian.

1)Organisasi Batch dianggotai oleh Ketua Batch, Timbalan Ketua Batch, Setiausaha, Timbalan Setiausaha, Bendahari, Timbalan Bendahari serta wakil-wakil unit

2)Organisasi Batch diketuai oleh Ketua Batch dan Timbalan Ketua Batch

3)Organisasi jurusan/agensi (jika ada) berada dibawah Ketua Batch

4)Hubungan gerakkerja Organisasi Batch dengan Organisasi PCI :

i. Ketua Batch dan Timbalan Ketua Batch diletakkan secara terus dibawah Pengerusi, Timbalan Pengerusi 1 dan 2.

ii. Setiausaha dan Timbalan Setiausaha diletakkan secara terus dalam Jabatan Setiausaha PCI.

iii. Bendahari dan Timbalan Bendahari diletakkan secara terus dalam Jabatan Bendahari PCI.

iv. Unit-unit kecil berkait secara terus dengan setiap unit dalam PCI


5)Pengerusi, Timbalan Pengerusi 1 dan 2 PCI bertangungjawab sepenuhnya dalam penyelenggaraan/pengurusan organisasi batch.

6)Seorang daripada lapan orang penasihat PCI akan dilantik sebagai pemerhati/penasihat dalam gerakkerja setiap batch.


Pelaksanaan Program

1)Idea, perancangan dan pengurusan gerakkerja adalah dibawah tanggungjawab Ketua Unit bersama Timbalan Ketua Unit dan/atau Ketua Batch bersama Timbalan Ketua Batch (Rujuk Perancangan Program/Modul.

2)Setiap program yang dilaksanakan adalah bersifat batch, bukan individu.

3)Program yang melibatkan beberapa batch adalah sangat digalakkan.

4)Setiap program yang dilaksanakan hendaklah berkisar dengan visi, misi serta objektif PERUBATAN Cawangan Iskandariah :

i. Kecemerlangan akademik

ii. Kerohanian dan pembangunan insan

iii. Kebajikan ahli

iv. Konsep kebersamaan dalam komuniti PCI


5)Setiap program mesti dimaklumkan kepada Pengerusi PERUBATAN Cawangan Iskandariah.


6)Dibenarkan menggunakan sebarang aset PCI dengan kebenaran.


7)Peranan JAKSI mesti dititikberatkan dalam setiap program yang dilaksanakan :

i. Bertanggungjawab memikirkan segala gerakkerja amar makruf dan nahi mungkar dalam setiap program.

ii. Menyelitkan unsur-unsur dakwah islam dalam setiap program.


8)Laporan penuh setiap program perlu diserahkan kepada Jabatan Setiausaha PERUBATAN Cawangan Iskandariah.

Kertas Kerja Pelaksanaan Program

1)Kertas kerja pelaksanaan program disediakan oleh jawatankuasa Unit PCI atau jawatankuasa Organisasi Batch. (Rujuk Perancangan Program/Modul)

2)Setiap kertas kerja perlu mendapat kelulusan Pengerusi dan/atau Ketua Batch terlebih dahulu sebelum dilaksanakan. (Rujuk Kelulusan)

3)Setiap kertas kerja perlu melalui Ketua Batch atau timbalan Ketua Batch.

4)Format kertas kerja akan disediakan oleh Jabatan Setiausaha PERUBATAN Cawangan Iskandariah.


Kelulusan

1)Setiap program mesti mendapat kelulusan Ketua Batch.

2)Kelulusan Pengerusi PERUBATAN Cawangan Iskandariah diperlukan sekiranya pelaksanaan program melibatkan individu dan/atau organisasi selain PERUBATAN Cawangan Iskandariah.

3)Ketua Batch yang terlibat perlu dimaklumkan sekiranya program melibatkan ahli batch tersebut.


Perancangan Program/Modul

1)Program PCI berskala kecil dan sederhana :

i. Perancangan dan penyusunan gerakkerja adalah dari Ketua Unit dan Timbalan Ketua Unit dalam PCI.

ii. Perancangan dan penyusunan dibantu oleh Majlis Tertinggi PCI.

iii. Pelaksanaan program adalah mengikut batch.


2)Program batch bersama PCI

i. Perancangan dan penyusunan gerakkerja adalah dibawah tanggungjawab Organisasi Batch.

ii. Perancangan dan penyusunan dipantau oleh Penasihat PCI.

iii. Pelaksanaan program adalah bersifat batch.


Peranan Penasihat


Sepertimana yang sahabat keutarakan persoalan semalam, ingin saya jelaskan kembali bahawa bukanlah suatu pendokongan PCI dalam mana-mana gerak kerja batch..

Mereka bertindak sebagai pemantau dan pemberi nasihat dalam apa jua gerak kerja batch dan kesetujuan dalam melaksanakan program adalah merujuk kepada kelulusan Ketua Batch (rujuk bahagian kelulusan) dan kesepakatan bersama antara Ketua Batch dan organisasi itu sendiri.


Secara hakikatnya,adalah tidak cukup tangan bagi kami (Pengerusi & Timbalan Pengerusi) untuk mengendalikan setiap batch dari Tahun 1 hingga 5 yang ahli PCI sekarang melitupi hampir 1000 orang.

Justeru,Lembaga Penasihat PCI diletakkan sebagai penasihat organisasi batch sesi 2011/2012 bagi membantu kami dalam menyelaraskan organisasi Batch.



Hubungan Luar

Sahabat perlu faham mengapa pihak PCI meletakkan sebarang hubungan luar perlu dimaklumkan kepada Pengerusi PCI itu sendiri.

Apa yang menjadi kerisauan di pihak kami adalah apabila berlakunya perkara yang tidak diingini kepada ahli lebih-lebih lagi di dalam keadaan Mesir yang masih belum stabil dan amin daulah yang masih belum dilantik.

Justeru,adalah diletakkan ke atas kami kewajipan untuk menjaga keselamatan dan kebajikan ahli jikalau berlaku apa-apa masalah yang melibatkan orang luar dari PCI itu sendiri.

Perwakilan PCI itu sendiri akan dirujuk untuk sebarang permasalahan yang berlaku khususnya yang melibatkan mahasiswa&mahasiswi Perubatan Iskandariah.

Harap sahabat dapat memahaminya..sepertimana juga sebabnya kami menetapkan buat pihak akhwat untuk menlibatkan musyrif bagi sebarang aktiviti luar rumah pada waktu malam.

Semuanya khas demi menjaga kebajikan dan keselamatan setiap ahli PCI di sini.



Persoalan

Saya faham bahawa sahabat mempunyai pelbagai persoalan mengenai organisasi ini..
Mungkin kelemahan dari diri saya sendiri yang tidak memberikan penerangan sebaiknya ketika di dewan kuliah semalam.

Justeru,amat saya alukan untuk sahabat hadir ke Majlis Transisi Kepimpinan PCI di mana sahabat boleh membawa perkara ini di dalam sesi muhasabah dan soal jawab.

Cumanya,dari sudut pandangan diri saya sendiri khususnya buat sahabat satu batch yang saya hormati dan sayangi.

Inisiatif ia diwujudkan untuk dilaksanakan adalah untuk memberi ruang kepada sahabat untuk belajar erti memberi dalam kehidupan ini.

Skop yang lebih kecil yag diberikan, saya mengharap sahabat-sahabat yang lain dapat bersama membantu Ketua Batch dan perwakilan SR untuk menggerakkan apa yang terbaik untuk batch.

Serba salah & kekesalan yang kami (Perwakilan SR tahun 2 lepas) hadapi bilamana tidak mampu untuk meletakkan apa yang terbaik untuk batch kami bagi melihat semua berjaya naik ke Tahun 3 masih lagi berbekas di hati kami.

Jadi,saya sememangnya meletakkan harapan & kepercayaan yang tinggi kepada sahabat untuk bersama dengan organisasi batch merancang apa yang terbaiknya buat batch.

Mengharapkan semua yang ada di antara kita ini,lulus dan berjaya naik ke tahun klinikal..dan bersama mengulung ijazah bersama pada tahun 2014..

Saya sendiri masih serba salah sebab tidak lagi mampu menumpukan sepenuhnya untuk apa yang terbaik untuk batch saya sendiri sepertimana yang pernah saya dipertanggungjawabkan ketika di Tahun 2 dahulu.

Namun,saya sedia membantu dalam apa jua yang sahabat rancangkan..Membantu dari sudut saya di dalam organisasi AJKT PCI itu sendiri..

Itulah pengharapan yang saya letakkan tikamana cuba mengendalikan majlis semalam..

Mungkin kelemahan dari sudut penerangan ataupun cara pengendalian saya ketika majlis semalam..Ia menjadi perkara yag sebaliknya..

Sekali lagi,minta maaf yang mampu saya hulurkan..


Calon yang Tidak Hadir

Saya sedia maklum bahawa ia menjadi isu di dalam majlis semalam malahan saya menerima message YM dari beberapa sahabat yang tidak berpuas hati akan keputusan saya untuk tidak menerima calon yang tidak hadir ke dalam majlis untuk dilantik sebagai AJK unit dalam organisasi batch.

Bukanlah satu keputusan yang sewenang-wenangnya diambil..

Saya faham bahawa sahabat sendiri lebih memahami dan mengenali sahabat yang lain lebih baik dari diri saya sendiri..Tidak pernah terlintas di hati saya untuk raguinya.

Namun ,keputusan yang dibuat adalah untuk sahabat faham bahawa perlu ada unsur keadilan ketikamana saya sendiri mengendalikan majlis tersebut.

Bantahan yang diberikan oleh pihak akhwat ada rasionalnya memandangkan kita telah persetujui ketika di awal pilihan raya bahawa calon yang tidak hadir tidak boleh untuk dicalonkan.

Keputusan musyawarrah adalah penting dan sebagai seorang ketua perlu ada unsur kesaksamaan dalam setiap keputusannya.

Mungkin isitilah saya mengatakan saya menggunakan 'kuasa' menimbulkan keadaan yang tegang atas sahabat sekalian terutamanya pada ikhwah..

Namun,kenyataan itu bukan kerana hendak suka-suka digunakan apatah lagi saya sendiri akan dipersoalkan di akhirat kelak jikamana saya salah menggunakannya.

Saya menyatakan bahawa ia adalah keputusan saya untuk menolak cadangan sahabat sekalian secara tegas yang masih lagi tegang untuk melantik calon yang tidak hadir..

Maafkan saya kalau ia disalah anggap sebagai salah guna..kekasaran bahasa mungkin mengundang ketidak selesaan pada sahabat sekalian..


Saya ingin membawa sahabat kembali untuk melihat bagaimana Khulafa’ ar-Rasyidin dilantik menjadi khalifah.

Saidina Abu Bakar r.a dibai’ah oleh sahabat berhadapan dengan khayalak ramai dan diangkat untuk menjadi khalifah setelah kewafatan baginda Rasullah s.a.w.

Malahan ketikamana sebelum beliau kembali ke menghadap Ilahi,beliau memanggil Saidina Umar al-khatab dan bertanyakan persetujuannya untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang khalifah.

Inilah apa yang ditinggalkan oleh mereka,mengajar kita untuk berbaiah dalam keputusan kita untuk melantik seseorang sebagai pemimpin.

Ia memerlukan persetujuan bersama..

Persetujuan bersama yang lahir inilah yang akan meletakkan mereka yang dilantik sedar bahawa mereka telah menerima satu tanggungjawab untuk dilaksanakan.

Saya cuba mengikut apa yang saya nampak haknya..mungkin ia perkara kecil, namun ia tidak lari menuntut ke atas diri saya untuk meletakkan apa yang haknya pada tempatnya.

Mungkin atas penggunaan bahasa yang saya tidak sedari yang digunakan di dalam majlis tersebut menyebabkan keadaan menjadi tegang dan berlaku salah faham di antara kita..

Ia suatu yang amat saya kesali dan diharap dapat diterima kemaafan dari pihak saya sendiri..


Akhir Kalam

Akhir Kalam dari saya sendiri..

Saya meminta maaf sekali lagi bagi setiap tingkah laku, bahasa dan cara pengedalian saya di dalam majlis pilihan raya Tahun 3 semalam.

Terima kasih atas setiap sokongan dan teguran yang diberikan sahabat.

Mungkin itulah yang sebaiknya Allah s.w.t tetapkan untuk mendidik saya bilamana di dalam jalur kepimpinan.

Saya bukanlah insan yang sempurna bilamana dilantik menjadi salah satu jawatan terpenting PCI.

Saya membuat silap dan masih lagi dalam peringkat belajar untuk memperbaikinya..

Justru,saya akhiri penulisan saya ini dengan ucapan Minta Maaf atas setiap segala kekurangan dan kelemahan dari pihak saya..


Sesungguhnya Allah s.w.t itu Maha Sempurna sifatnya dan kehinaan itu datang dari diri saya sebagai pengajaran dan kasih sayang terhadap hambaNya..

Sekian.

Wallahua'lam..


Friday, March 18, 2011

Sayangilah Ukhwah itu..


Bismillahirrahmanirrahim


Hamdalillahi a’las salamah..

Ucapan yang saya terima daripada rakyat Mesir bilamana kembali menjejakkan kaki di Bumi Anbia’ ini.

Baharu sahaja pulang dari Kaherah menghadiri satu perjumpaan antara mahasiswa&mahasiswi Mesir bersama Kementerian Pelajaran Tinggi (KPT) Malaysia.

Ingatan saya mengimbau kembali satu perbualan yang saya lalui di meja makan ketika sesi ramah mesra.

Kebetulan terpaksa menempa meja di belakang sekali,terpisah dengan rakan Medic Alex yang lain..Saya duduk bersama dengan mereka yang mengambil bahagian Pengajian Islam.

Selesai makan,perbualan bermula..Saya cuma hanya mendiamkan diri,segan untuk berkata..

Hinggalah perbualan dicelahi oleh seorang :


“Kita kena cakap kat Dato’,mintak naikkan duit bulanan kita..Minta diorang cari dari sumber yang diorang ada..JPA tak pun MARA ke..”

“Tak adil pelajar Medic dapat 400 USD sebulan..kita?”


Saya cuma hanya mendiamkan diri tanpa disedari bahawa di dalam perbualan mereka terdapat pelajar perubatan bersama..

Sekadar mendengar dan cuba memahami apa yang terbuku di hati mereka..


Kita ‘di-anak-tiri-kan’ semenjak kita ada kat sini,asyik budak medic aje dapat lebih”..sambung pemuda tadi

“haah..memang pun patut kita mintak,mentang-mentang kita ke arah pembangkang,diorang biarkan kita camtu..kita pun berhak nak lebih”, sambung seorang yang lain.


Perbualan berlangsung dengan panjang berkaitan dengan isu ini..Cukuplah saya tulis bahagian perbualan yang mengambarkan suasana untuk dikaitkan dengan penulisan saya kali ini.



Adil atau Tidak?

Saya tidak ingin membicarakan samada ia adil atau tidak,merisaukan jikalau banyak pihak tersalah faham atas penulisan ini kerana ia bukanlah tujuan utama saya catitkan di dalam blog ini.

Malahan,selaku pelajar Perubatan tidak pernah berasa bangga di hati melihatkan elaun lebihan yang diberikan oleh kerajaan..apatah lagi untuk mengatakan kami ini adalah “proxy” kepada kerajaan.

Kesemua lebihan wang yang diberikan akan dipersoalkan kepada kami ke mana ia dihala tujukan di akhirat kelak..

Tambahan lagi ia juga adalah wang rakyat..Dipertanggungjawabkan untuk meletakkan kejayaan pada pengajian kami melalui kepercayaan rakyat yang diberi..

Ia adalah amanah bukan suatu kemewahan”



Ukhwah & Berlapang Hati

Saya acap kali mendengar pelbagai propaganda yang cuba memecah-belahkan antara mahasiswa & mahasiswi Pengajian Islam dan juga Perubatan.

Kerisauan & kesedihan melanda hati bilamana melihatkan isu ini diperbesarkan melibatkan perhubungan antara mahasiswa & mahasiswi Pengajian Islam & Perubatan.

Sedia faham bahawa belanja hidup di Mesir semakin lama semakin meningkat..Bahkan bukan sahaja melanda Mesir tapi juga secara globalnya..

Inilah realiti kehidupan di akhir zaman..

Pelbagai cara boleh dilaksanakan untuk meminta kenaikan elaun sara hidup daripada pihak kerajaan (contoh : kenaikan harga barang, kenaikan sewa rumah dan seumpamanya)

Namun jika ia bersandarkan perbandingan hidup antara dua pihak ini,propaganda dan kata-kata belakang yang terbina bakal mengundang keretakan perhubungan yang terjalin selama ini..

Malah,menjarakkan lagi jurang antara Pengajian Islam & Perubatan, sedangkan kedua-dua saling melengkapi di bumi Anbia ini..

Propaganda inilah yang bakal digunakan oleh sesetengah pihak untuk memecah-belah keadaan mahasiswa&mahasiswi di Mesir bagi meraih kepuasan kemenangan yang mereka kehendaki..



Perhubungan yang terbina selama ini bukanlah atas dasar ‘siapa lagi hebat bidangnya’ atau ‘siapa yang lagi banyak duitnya’..

Tapi ia dibina atas dasar ukhwah Islamiyyah..

Kesefahaman yang terjalin atas dasar saling melengkapi dan membantu satu sama lain dalam menjaga komuniti mahasiswa&mahasiswi Malaysia di Mesir..

Malahan, dasar ukhwah yang dibawa oleh Islam menerapkan kesamaan satu sama lain sebagai seorang hamba di sisi Allah s.w.t dan semulia-mulia di sisiNya adalah mereka yang bertakwa :


…Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”

Al-Hujuraat :13


Islam menolak prinsip kemulian keturunan,martabat ataupun darjat dalam menjalinkan persaudaraan antara satu sama lain..

Inilah ukhwah sejati yang tidak dapat ditembusi oleh anasir-anasir yang cuba memecah-belahkan masyarakat masa kini khususnya kita di bumi Mesir ini..


“Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam kasih-sayang sesama mereka seperti tubuh, apabila satu anggotanya mengadu kesakitan, menyebabkan seluruh anggotanya merasa sakit dan tidak dapat tidur”

(muttafaqun ‘alaihi)



Jalinan ukhwah yang terjalin meletakkan kita saling membantu antara satu sama lain.

Ustaz-ustaz sudi meluangkan masa,datang dan mencurahkan segala ilmu yang ada sebagai santapan rohani buat mahasiswa Perubatan..

Merekalah permata ilmu di mata hati kami .. Tidak pernah terdetik dua pihak ini dibezakan hanya sekadar apa yang diberikan oleh kerajaan..

Malahan,kita saling mengubati di antara satu sama lain..

Perubatan mengubati penyakit fizikal manakala Pengajian Islam sebagai ubat bagi penyakit rohani..


Tikamana salah satu pihak dilanda kesusahan ,bantuan kewangan dihulurkan sekelip mata..

Tidak pernah mengira apakah bidang kita selama ini..tidak pernah mengira apakah akan cukup wang sara hidup kita nanti bilamana menghulurkan bantuan..

Ukhwah inilah yang terbina sekian lamanya..dan kini ia cuba diporak-perandakan atas isu menuntut keadilan untuk mendapatkan hak yang sama..

Tidak pernah salah untuk menuntut haknya tapi perlu betul caranya..usahlah hingga perlu digadaikan ukhwahnya..



Kita adalah generasi bersama..

Kita bersama untuk melatih dan mendidik diri kita untuk menjadi generasi rabbani yang bakal memimpin masa depan negara..

Kalaulah di sini kita sudah menunjukkan keretakkannya,apakah akan ada ruang untuk kita membaiki semangat kesepaduan di dalam masyarakat Islam negara kita?..

Dimanakah rijal-rijal yang bakal membawa dakwah & risalah Islamiyyah kalau hati ini masih berlutut di bawah kerosakan propaganda pihak yang cuba memecah-belahkan kita?..

Sayangilah ukhwah itu…usah retak kerana dunia semata..